PGA tumpas cubaan seludup 150 anak pokok durian

Antara pokok durian yang dirampas oleh PGA dalam operasi petang Khamis/Foto PGA

KUALA LUMPUR, 22 Mei –Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan menyeludup 150 anak pokok durian selepas menahan sebuah lori di Kampung Simpangan, Tumpat pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan mendapati anak pokok durian mempunyai serangga perosak dan penyakit.
  • Suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun gagal mengemukakan dokumen, ditahan untuk tindakan lanjut.
  • Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM159,000 dan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu.
  • Sebanyak 85 anak pokok berpenyakit akan dimusnahkan; kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan kira-kira 3.30 petang selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kedai Makan Suria di kampung berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun itu menemukan anak pokok durian dipercayai mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan anak pokok yang dibawa sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas sebuah lori dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM159,000,” katanya kepada RTM.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati anak pokok berkenaan diperoleh dari sekitar Kampung Simpangan dan dipercayai akan dihantar kepada pelanggan di Kuala Lumpur.

Katanya, rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan sebanyak 85 anak pokok yang dikesan berpenyakit akan dimusnahkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan di Kompleks ICQS Pengkalan Kubor akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada penyebaran penyakit dan serangga perosak bawaan pokok berlaku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.