
PENDANG, 21 Mei – Sebanyak 20 tan metrik beras bernilai kira-kira RM52,000 dirampas Kawalselia Padi dan Beras Kedah dalam satu operasi di Kampung Padang, Mukim Tajar, di sini, pagi tadi.
- Dua lori ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan sekitar 7.45 pagi.
- Pemeriksaan lori pertama menemui 200 kampit beras dan pemandu gagal mengemukakan dokumen pemilikan atau pengangkutan.
- Lori kedua turut membawa 200 kampit beras dengan anggaran berat yang sama dan diperiksa.
- Dua pemandu dan dua kelindan ditahan; lori serta muatan disita dan kes dalam siasatan pihak berkuasa.
Pengarahnya, Mohamad Nornizam Ramly berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan dua lori dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 7.45 pagi ketika pasukan operasi menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kedua-dua lori tersebut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori pertama menemukan 200 kampit beras seberat 10 tan metrik dan pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pengangkutan beras tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap lori kedua turut menemukan 200 kampit beras dengan anggaran berat sama iaitu 10 tan metrik.
Susulan itu, dua pemandu dan dua kelindan ditahan bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, kedua-dua lori bersama muatan beras tersebut telah disita untuk tindakan lanjut dan kes kini dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan.