
SHAH ALAM, 21 Mei – Penjenayah seksual yang diberkas Sabtu lalu selepas dipercayai mengurung, mengikat dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Seksyen 32 di sini, akan dituduh dalam masa terdekat.
- Suspek diberkas Sabtu lalu selepas dipercayai mengurung, mengikat dan meliwat remaja lelaki 14 tahun di Seksyen 32.
- Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning pada 12 Mei.
- Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar beri kenyataan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
- Suspek dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang dan baru keluar penjara pada April tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes berkenaan.
“Saya dimaklumkan arahan pertuduhan telah diberikan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan akan dibuat dalam kadar segera.
“Apabila pertuduhan dibuat, kita akan maklumkan kepada rakan media untuk mendapatkan maklumat lanjut di mahkamah berkaitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikurung dan didera, termasuk dipercayai diliwat oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, di sini pada 12 Mei lalu.
Suspek yang dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang mempunyai rekod baharu keluar penjara pada April tahun lalu.