
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki dan merampas 90 pil yaba bernilai RM2,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Banggol Kulim di Rantau Panjang pada Khamis.
- Pemeriksaan bilik tidur menemui paket plastik biru berisi pil yaba disyaki seberat 10.83 gram.
- Suspek mengaku memiliki dadah dan dipercayai menerima bekalan daripada seorang lelaki tempatan, aktif menjual sejak kira-kira setahun.
- Rekod lampau suspek dikenal pasti, ujian air kencing negatif, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan dalam serbuan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira 1 tengah hari susulan maklumat berkaitan aktiviti dadah.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah berkenaan menemukan satu paket plastik berwarna biru mengandungi 90 pil yaba disyaki seberat 10.83 gram.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,200,” katanya kepada RTM pada Khamis.
Beliau berkata lelaki terbabit mengaku dadah berkenaan miliknya sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan pil yaba daripada seorang lelaki tempatan di sekitar Rantau Panjang dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan penjualan dadah sejak setahun lalu.
“Suspek dipercayai menjalankan aktiviti penjualan pil yaba di rumahnya sendiri selain menghantar terus kepada pelanggan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pasir Mas mendapati suspek negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.