
pada sidang media Program Jelajah Wira MADANI 2026 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini. / Foto BERNAMA
KUANTAN, 28 April – Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan secara unilateral terhadap Selat Melaka, sebaliknya terus memastikan keselamatan laluan maritim strategik itu terpelihara.
- Malaysia tidak membenarkan kuasa besar buat keputusan unilateral terhadap Selat Melaka; memastikan keselamatan laluan maritim strategik terpelihara.
- Pendekatan selaras prinsip kepusatan ASEAN untuk mengekalkan rantau aman, bebas dan berkecuali demi kepentingan perdagangan global.
- Kerajaan komited memperkukuh Maritim Malaysia dengan penambahan aset strategik dan interaksi semua pihak bagi mengekalkan keamanan serta kestabilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pendirian tersebut selari prinsip kepusatan ASEAN yang mengekalkan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.
Menurut beliau, Malaysia bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kepentingan domestik, malah turut memainkan peranan penting terhadap masyarakat antarabangsa berikutan kedudukan kritikal Selat Melaka dalam perdagangan global.
“Kalau Selat Hormuz merupakan laluan kepada 20 peratus bekalan tenaga dunia, baki 80 peratus lagi adalah Selat Melaka. Kita kena lihat laluan kapal, kalau 20 peratus itu pun boleh mencetuskan ketegangan geopolitik yang hebat, apatah lagi Selat Melaka.
“Kerana itu kita kekal dengan pendirian bahawa mengawasi keselamatan Selat Melaka yang merupakan laluan penting kapal dagang dunia adalah kewajipan kita,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Wira MADANI 2026 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini.
Tambahnya, Malaysia akan terus berinteraksi dengan semua pihak bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di laluan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan komited memperkukuh keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi penambahan aset strategik bagi menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.