KPDN sita 5,801 mainan ‘squishy’ bernilai lebih RM70,000

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 25 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 5,801 unit mainan span lembut atau ‘squishy’ bernilai lebih RM70,000 menerusi Pemeriksaan Khas Mainan Span Lembut di seluruh negara dari 1 hingga 14 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan melibatkan 1,845 premis termasuk pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit.
  • Sebanyak 15 tindakan penguatkuasaan direkodkan kerana gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan MC.
  • KPDN tegas terhadap pelanggaran peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
  • Pengguna boleh membuat aduan mengenai penjualan mainan mencurigakan melalui WhatsApp, portal e-Aduan, talian 1-800 atau aplikasi Ez ADU.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata pemeriksaan itu melibatkan 1,845 premis, termasuk pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, sebanyak 15 kes tindakan penguatkuasaan direkodkan susulan kegagalan pihak terlibat mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan atau tanda MC seperti yang ditetapkan.

“KPDN memandang serius isu keselamatan mainan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599],” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan hanya produk yang mematuhi standard keselamatan ditawarkan kepada pengguna.

Dalam pada itu, orang ramai, khususnya ibu bapa, dinasihatkan supaya menyemak label dan tanda pematuhan keselamatan sebelum membeli mainan untuk anak-anak.

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mainan yang mencurigakan boleh menyalurkan aduan kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan di talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.