
IPOH, 25 Oktober – Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua operasi berasingan di sekitar Ipoh, awal pagi tadi.
- Tahanan melibatkan warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos, berumur 19 hingga 59 tahun.
- 34 wanita ditahan melalui Op Gegar di sebuah pusat hiburan dan empat pusat urut.
- Dalam pemeriksaan di Pasar Borong, 75 daripada 77 warga asing turut ditahan.
- Kesalahan termasuk tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan penyalahgunaan permit; disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua ditahan berusia lingkungan 19 hingga 59 tahun melibatkan warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, 34 wanita ditahan menerusi Op Gegar yang dilaksanakan di sebuah pusat hiburan dan empat pusat urut sekitar bandar raya Ipoh.
Selain itu, seramai 75 daripada 77 warga asing yang diperiksa menerusi operasi di Pasar Borong Ipoh turut ditahan.
“Seperti mana biasa kesalahan yang dikesan melibatkan warga asing yang diperiksa pada malam ini antaranya tidak mempunyai dokumen yang sah untuk berada dalam negara.
“Kesalahan kedua tinggal lebih masa dan yang terakhir menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan ke atas mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Operasi yang bermula pada pukul 9.00 malam dan 1.30 pagi itu melibatkan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan JIM Perak, Bahagian Perisikan Operasi Khas JIM Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.