
SHAH ALAM, 28 April – Kerajaan negeri Selangor membenarkan kemasukan import ternakan babi selepas beberapa lesen import diluluskan, termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak namun ia tertakluk kepada syarat ketat yang ditetapkan.
- Bekalan ternakan babi menurun ketara akibat penularan wabak penyakit.
- Bekalan semasa hanya sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding kira-kira 60 peratus sebelum ini.
- Ternakan hidup perlu dihantar terus ke pusat sembelihan di Rawang; tidak dibenarkan singgah.
- Bekalan karkas sejuk beku dipantau untuk memastikan bekalan mencukupi; Perak juga mencatat kemasukan tertakluk syarat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Datuk Ir Izham Hashim berkata, bekalan ternakan babi di Selangor ketika ini mencatatkan penurunan ketara susulan penularan wabak penyakit.
Jumlah semasa bekalan ketika ini direkodkan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus, berbanding kira-kira 60 peratus sebelum ini.
“Kerajaan negeri telah membenarkan import. Ketika ini, lesen import sudah diluluskan termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak, dengan anggaran sekitar 800 ekor seminggu.
“Namun, syarat yang dikenakan adalah ketat. Ternakan tersebut tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi dan perlu terus dihantar ke pusat sembelihan di Rawang. Di Perak juga terdapat kemasukan ternakan, tetapi tertakluk kepada syarat ketat bagi memastikan tiada jangkitan penyakit berlaku.
“Pada masa sama, kita turut memantau bekalan karkas sejuk beku bagi memastikan bekalan yang dibawa adalah mencukupi,” katanya dalam sidang dewan negeri Selangor di sini.