Sistem awan berdaulat lindungi data sensitif, tidak kawal semua data – PM


Perdana Menteri berucap pada majlis pelancaran bangunan baharu AI Kampus Universiti UCSI, di sini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 April – Sistem Pengkomputeran Awan Berdaulat bukan bertujuan mengawal keseluruhan data nasional, sebaliknya memfokuskan perlindungan terhadap data sensitif negara termasuk rahsia ketenteraan dan risikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah dimaklumkan dibuat demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.
  • Kerajaan rujuk dasar Amerika Syarikat era Trump yang memberi ruang kepada kerajaan mengarahkan syarikat teknologi berkongsi maklumat.
  • Peruntukan RM2 bilion Belanjawan 2026 untuk Sistem Pengkomputeran Awan AI Berdaulat dikendalikan MCMC; pelaburan asing diterima tertakluk peraturan keselamatan dan privasi.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu dibuat demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sistem Pengkomputeran Awan Berdaulat itu, sekali lagi saya tegaskan, terbatas kepada isu-isu di bawah skop keselamatan negara.

“Kita ambil pendekatan ini kerana terdapat dasar di Amerika Syarikat, di bawah Presiden Trump, yang memberi ruang kepada kerajaan mereka mengarahkan syarikat teknologi untuk berkongsi maklumat.

“Untuk melindungi kepentingan negara, kita perlu ada sistem ini. Itu faktanya,” katanya pada sesi soal jawab sempena program Temu Anwar dan pelancaran bangunan baharu AI Kampus Universiti UCSI, di sini.

Beliau menegaskan Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan teknologi global, dengan syarikat seperti Google dan Microsoft terus diberi ruang mengembangkan operasi pusat data dan perkhidmatan awan.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada peraturan keselamatan serta privasi.

Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi pembangunan Sistem Pengkomputeran Awan AI Berdaulat yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Inisiatif itu dijangka memperkukuh keupayaan digital negara serta memastikan data strategik kekal dilindungi dan berdaulat.