
KUALA LUMPUR, 26 April– Klinik Kesihatan Sijangkang ditutup sementara bagi tujuan pembaikan selepas dilanda ribut pada Sabtu kira-kira pukul 4.15 petang.
- Kerosakan bumbung Unit Pesakit Luar mengakibatkan kemasukan air hujan ke dalam premis klinik.
- Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota kesihatan mahupun orang awam.
- Perkhidmatan dipindahkan ke klinik berhampiran; pesakit dimaklumkan, TNB dihubungi dan kontraktor dilantik untuk kerja pembaikan.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bumbung Unit Pesakit Luar Klinik Kesihatan Sijangkang.
“Insiden tersebut mengakibatkan kemasukan air hujan ke dalam premis klinik. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota kesihatan mahupun orang awam.
“Perkhidmatan rawatan pesakit kini dipindahkan ke beberapa fasiliti berhampiran iaitu Klinik Kesihatan Kebun Baru, Klinik Kesihatan Teluk Panglima Garang dan Klinik Desa Sijangkang Luar,” menurut kenyataan itu.
Orang awam turut dimaklumkan berkenaan perkara itu menerusi pelbagai saluran termasuk pesanan ringkas kepada pesakit yang mempunyai temu janji, media sosial rasmi, hebahan komuniti serta notis di premis klinik.
Dalam pada itu, tindakan segera telah diambil termasuk menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memulihkan bekalan elektrik serta melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Penilaian lanjut terhadap keseluruhan struktur bangunan akan dijalankan pihak Jurutera Daerah dalam masa terdekat.