Kempen 6020: Pastikan kesihatan gigi warga emas pada tahap optimum

Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR, 26 April – Kementerian Kesihatan melancarkan Kempen 6020 bagi memastikan warga emas terus menikmati kualiti hidup yang baik melalui penjagaan kesihatan pergigian yang optimum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran utama: warga usia 60 kekalkan sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli untuk mencegah jangkitan dan membantu pengambilan makanan.
  • Kementerian mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus warga emas memiliki 20 gigi asli menjelang 2030.
  • Menggerakkan program Kembara Senyuman, menyediakan perkhidmatan pembuatan gigi palsu ke komuniti, pusat jagaan dan kawasan pedalaman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kempen itu selaras dengan Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022–2030.

Menurut beliau, fokus utama kempen adalah memastikan individu yang mencapai usia 60 tahun perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, ini adalah laluan kepada tubuh badan kita. Kita mahu pastikan ia kekal berfungsi dalam menjaga pelbagai aspek termasuk mencegah jangkitan serta membantu proses pengambilan makanan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen 6020 dan Kembara Senyuman Peringkat Kebangsaan 2026, di sini.

Beliau berkata menerusi Kempen 6020, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus warga emas di negara ini memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli menjelang 2030.

Bagi mencapai sasaran itu, kementerian akan menggerakkan program Kembara Senyuman ke seluruh negara, termasuk menyediakan perkhidmatan pembuatan gigi palsu secara terus ke komuniti, pusat jagaan dan kawasan pedalaman.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA 2020), hanya 34.3 peratus warga emas mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli, manakala 13.9 peratus mengalami limitasi fungsi mulut yang menjejaskan kualiti hidup.