
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, termasuk melalui pemeteraian awal Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama Malaysia-EU (PCA) serta usaha berterusan ke arah memajukan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (FTA).
- Komitmen memperkukuh hubungan dua hala; pemeteraian awal PCA dan usaha memajukan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU.
- Bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi Asia Barat dan Ukraine, perlunya penyelarasan lebih erat.
- Menegaskan kepentingan Kepusatan ASEAN serta memperkukuh kerjasama strategik antara ASEAN dan Kesatuan Eropah.
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan dua hala antara Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Wakil Tinggi Hal Ehwal Luar Negeri serta Dasar Keselamatan EU, Kaja Kallas, di sela-sela Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-25 (AEMM) di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, semalam.
“Kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia-EU, termasuk melalui pemeteraian awal Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama Malaysia-EU (PCA) serta usaha berterusan ke arah memajukan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (FTA),” menurut kenyataan Wisma Putra di Facebook.
Menurut kenyataan lagi, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Asia Barat dan Ukraine, selain menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih erat dalam menangani isu-isu global.
Dalam pertemuan itu, Malaysia dan EU juga membincangkan usaha mempertingkatkan hubungan ASEAN-EU, termasuk persiapan ke arah memperingati Ulang Tahun ke-50 hubungan Dialog ASEAN-EU pada 2027.
Kedua-dua pihak pada masa sama menegaskan kepentingan Kepusatan ASEAN dalam mendepani cabaran serantau dan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua blok.
Datuk Seri Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke AEMM ke-25 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, dengan tumpuan terhadap pengukuhan perkongsian strategik ASEAN-EU, selain isu serantau.