Jualan Koperasi MADANI tawar diskaun hingga 40 peratus, bantu rakyat tangani kos sara hidup

FOTO Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

PENAGA, 26 April – Penduduk sekitar Bertam dan Kepala Batas berpeluang menikmati potongan harga barangan asas sehingga 40 peratus menerusi penganjuran Jualan Koperasi MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif membantu meringankan kos sara hidup dan memberi platform kepada peniaga kecil serta koperasi kembangkan perniagaan.
  • Antara tawaran termasuk ayam serendah RM8 seekor dan daging RM19 sekilogram.
  • Pelbagai agensi membuka kaunter perkhidmatan; jualan dijangka diperluaskan ke lokasi lain di Pulau Pinang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah menjadi platform kepada peniaga kecil serta koperasi untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menurut beliau, antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam pada harga serendah RM8 seekor dan daging RM19 sekilogram.

“Ini antara usaha KUSKOP bukan sahaja untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, tetapi juga menyokong peniaga kecil dan koperasi terus berkembang. Selain jualan, kita turut membuka reruai agensi di bawah kementerian bagi memudahkan perkhidmatan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan MADANI Koperasi & Usahawan 2026 DUN Bertam, pagi tadi.

Pelbagai agensi turut membuka kaunter perkhidmatan termasuk Bank Rakyat, Tekun Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pihak berkuasa tempatan.

Inisiatif jualan murah berkenaan dijangka diperluaskan ke beberapa lokasi lain di seluruh Pulau Pinang dalam usaha berterusan membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.