
KUALA LUMPUR, 26 April – Penganjuran program berteraskan perpaduan dilihat sebagai medium penting dalam memupuk sikap saling memahami, menghormati dan menghargai antara kaum khususnya di Malaysia.
- Perpaduan perlu diterjemahkan melalui tindakan; festival menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif perpaduan di peringkat komuniti.
- Festival Mahligai Harmoni 2026 meraikan enam pasangan pengantin pelbagai kaum dan persembahan tradisional sebagai simbol kebersamaan.
- Inisiatif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan wajar diteruskan demi memperkukuh kebersamaan untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, program kebudayaan dan festival warisan yang dilaksanakan umpama serampang dua mata yang mengetengahkan keunikan Malaysia serta menyumbang kepada pemerkasaan sektor ekonomi negara.
“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan — menerusi program seperti ini. Saya berharap festival seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif perpaduan di peringkat komuniti.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu memperkukuh hubungan antara kaum demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Festival Mahligai Harmoni 2026 yang bertemakan ‘Perpaduan Melalui Tradisi’ anjuran bersama Parlimen Bandar Tun Razak dan Pertubuhan Sukarelawan Komuniti Harapan (HARAP) Malaysia di ibu negara.
Pada majlis tersebut, seramai enam pasangan pengantin baharu daripada pelbagai kaum diraikan menerusi gimik persandingan perkahwinan, diikuti persembahan tradisional oleh komuniti setempat yang mencerminkan semangat perpaduan.
Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI selain memperkukuh kebersamaan melalui pelbagai program kebudayaan merentasi kaum wajar diteruskan untuk generasi akan datang.