
TANJUNG MALIM, 26 April -Isu peluang pendidikan tidak wajar dipolitikkan sehingga menjejaskan usaha negara dalam memastikan akses pendidikan yang adil dan menyeluruh kepada semua pelajar.
- Peluang pendidikan tidak wajar dipolitikkan kerana menjejaskan akses adil dan menyeluruh kepada semua pelajar.
- Kemasukan IPT melalui sistem UPU berasaskan prinsip merit dan telah dijelaskan berulang kali kepada umum.
- Sebarang isu kemasukan, termasuk pelajar berkeputusan baik yang tidak mendapat tempat, perlu dirujuk kepada pihak UPU untuk penjelasan.
- Ruang pendidikan merangkumi kampus dan laluan lain seperti program TVET di politeknik dan institusi berkaitan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, pendidikan perlu kekal sebagai agenda nasional tanpa dipengaruhi unsur
politik keterlaluan.
Menurut beliau, kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) adalah berasaskan prinsip merit dan telah diperjelaskan secara berulang kepada umum.
“Apa yang kita lakukan sebaiknya ialah melalui sistem di peringkat UPU, yang berasaskan sistem merit. Dari segi cara pengiraan sistem dan perkara lain, hal ini telah dijelaskan berkali-kali. Saya berharap pada kali ini perkara ini dapat diberi perhatian oleh semua pihak.
“Sekiranya terdapat sebarang isu atau persoalan, seperti pelajar yang tidak mendapat tempat walaupun memperoleh keputusan yang baik, perkara tersebut boleh dirujuk kepada pihak UPU. Kami sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan kepada semua ibu bapa,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jom Masuk U 2026 dan Global Educator Award di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.
Program berkenaan berjaya menarik hampir 20,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran yang menghimpunkan 74 reruai pameran institusi pendidikan tinggi dan agensi pendidikan.
Tambah beliau, ruang pendidikan ketika ini bukan hanya tertumpu di kampus, sebaliknya turut merangkumi laluan lain termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik dan institusi berkaitan.