Kepulangan peserta GSF 2.0 disambut penuh emosi ahli keluarga

Anak Kapten Siva, Sidarthdarshan Patmanathan Sivasamy/RTM

SEPANG, 25 Mei – Kepulangan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi turut disambut penuh emosi oleh ahli keluarga masing-masing yang menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian mereka membawa suara rakyat Palestin ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak Kapten Siva menyatakan rasa bangga dengan keberanian bapanya menyertai misi berisiko tinggi.
  • Nazhar kagum dengan semangat dan ketabahan adiknya menghadapi cabaran demi membantu rakyat Palestin.
  • Mereka membawa nama Malaysia, mewakili negara dalam usaha membantu rakyat Palestin yang ditindas.

Bagi anak kepada Kapten Siva, Sidarthdarshan Patmanathan Sivasamy, keberanian bapanya menyertai misi berisiko tinggi itu menjadi satu kebanggaan besar buat keluarga mereka.

“Saya sangat bangga dengan keberaniannya kerana sanggup pergi membantu dalam misi itu. Bagi saya, dia insan yang paling saya kagumi dalam keluarga ini. Saya amat bangga kerana dia berani tampil ke hadapan bersama rakan-rakannya, dan keberaniannya benar-benar luar biasa serta sukar digambarkan,” katanya.

Sementara itu, abang kepada peserta misi Muhammad Zaid Abdul Karim, Nazhar Abdul Karim pula menyifatkan semangat dan ketabahan adiknya sebagai sesuatu yang luar biasa dalam usaha membantu rakyat Palestin yang ditindas.

“Saya sangat gembira dan benar-benar kagum dengan semangat yang dibawanya. Semangat juangnya memang begitu membara. Kalau saya berada di tempatnya, saya rasa saya sendiri belum tentu mampu kerana dia mempunyai jiwa yang sangat kental.

“Saya amat bangga kerana dia membawa nama Malaysia dan mewakili kita semua dalam membantu rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh Zionis. Bagi saya, tidak mudah untuk melalui semua itu, tetapi kerana dia kuat, tabah dan cekal, dia mampu mengharungi segala cabaran sehingga ke tahap tersebut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.