
SEPANG, 25 Mei –Gelombang “Sumud Protocol” Fasa 1 kini digerakkan sebagai pelan tindakan susulan pasca misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
- SNCC melalui Kaukus Palestin mahu mengumpul sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen merentas parti untuk isu Palestin.
- Menuntut sidang khas Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 18 untuk mengecam rejim dan mengabsahkan Deklarasi Brussels bagi koridor maritim kemanusiaan.
- Misi GSF 2.0 mencetuskan solidariti antarabangsa luas, termasuk pelayaran 40 hari merentas Mediterranean dan reaksi global terhadap tindakan rejim.
Ia bertujuan memperkukuh tekanan antarabangsa terhadap rejim Israel, di samping memperluas solidariti masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby berkata, SNCC melalui Kaukus Palestin Parlimen Malaysia sedang menggerakkan sokongan serta keahlian sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen merentas parti.
Menurut beliau, usaha itu mencerminkan keteguhan institusi Parlimen Malaysia yang berani dan komited dalam memperjuangkan isu Palestin.
” SNCC mendesak pihak Parlimen Malaysia untuk mengadakan sidang khas di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi mengecam tindakan regim serta mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan oleh ahli-ahli parlimen dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU).
“Deklarasi itu bertujuan memberi legitimasi kepada koridor maritim kemanusiaan ke Gaza di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS), yang perlu dihormati, selain menuntut tekanan diplomatik termasuk semakan ketat terhadap hubungan ekonomi dengan rejim berikutan pencabulan undang-undang antarabangsa serta sekatan kemanusiaan ke atas Gaza,” kata beliau pada sidang media bersempena ketibaan aktivis Malaysia daripada misi GSF 2.0 di KLIA Terminal 1, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan GSF 2.0 telah mencetuskan gelombang solidariti antarabangsa yang luar biasa dalam sejarah perjuangan kemanusiaan moden.
“GSF 2.0 mencerminkan usaha kolektif masyarakat dunia dengan objektif yang jelas untuk memecahkan kepungan serta menghantar bantuan kecemasan ke Gaza.
“Misi dengan rekod 960 jam atau 40 hari pelayaran merentasi Laut Mediterranean ini berjaya mencetuskan reaksi global saat regim penjajah bertindak seperti lanun dan penyamun di zon perairan antarabangsa,” katanya.