Malaysia bawa isu pencabulan undang-undang Israel ke ICC

Ketua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza merangkap delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari/Foto BERNAMA

SEPANG, 25 Mei – Malaysia akan membawa isu pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan rejim Israel terhadap peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke peringkat mahkamah antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden penculikan, serangan dan rampasan bantuan serta kapal flotila di perairan antarabangsa dilaporkan.
  • Dakwaan penyeksaan, keganasan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis Malaysia semasa dalam tahanan.
  • Tindakan bertujuan meningkatkan tekanan diplomatik terhadap pihak berkuasa Israel dan menggalakkan rakyat Malaysia tidak berdiam diri.
  • Sumud Nusantara dan CENTHRA mengumpul bukti bawah UNCLOS 1982 untuk difail dan dibawa kepada Ketua Pendakwa ICC.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza merangkap delegasi GSF 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu susulan insiden penculikan, serangan serta rampasan bantuan kemanusiaan dan kapal flotila di perairan antarabangsa.

Ia turut melibatkan dakwaan penyeksaan, keganasan serta layanan tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis Malaysia ketika dalam tahanan.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan tekanan diplomatik terhadap pihak berkuasa Israel.

“Kali ini tekanan yang diberikan kepada mereka bukan perkara yang mudah. Bukan hanya tekanan psikologi ataupun ancaman ketakutan yang telah dilakukan oleh rejim zionis, malah turut melibatkan tindakan fizikal.

” Insya Allah Malaysia tidak akan berdiam diri. Kita tuntut rakyat Malaysia juga tidak akan berdiam diri. Kita juga menuntut rakyat Malaysia untuk terus bersuara kerana kedaulatan negara, warga kita dan keluarga kita telah dicabuli demi mempertahankan kemanusiaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby berkata bukti pencabulan undang-undang antarabangsa rejim Israel yang termaktub di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 telah dikumpulkan pihak guaman Sumud Nusantara, CENTHRA yang mewakili aktivis Malaysia.

Ia termasuk pengumpulan pelbagai bukti salah laku seperti penganiayaan dan kekerasan terhadap aktivis ketika dalam tahanan yang akan difail dan dibawa ke perhatian Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.