
SEPANG, 25 Mei – Penglibatan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disifatkan sebagai pengalaman yang cukup bermakna, selain membuka mata terhadap situasi sebenar di lapangan dalam usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin.
- Dipintas di Greece dan sekali lagi di perairan antarabangsa semasa pelayaran solidariti.
- Menyaksikan kekasaran dan keganasan tentera Zionis terhadap aktivis tidak bersenjata.
- Penghargaan kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan sehingga mereka selamat pulang.
- Berikrar meneruskan perjuangan untuk rakyat Palestin dan berharap tidak diketepikan daripada misi kemanusiaan akan datang.
Ahli delegasi Malaysia, Dr. Jihan Alya Mohd Nordin berkata beliau bersyukur dapat menyertai pasukan antarabangsa yang menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara dalam misi solidariti tersebut.
“Alhamdulillah, sepanjang bersama pasukan Global Sumud Flotilla (GSF), saya merasakan pengalaman ini amat bermakna dan mungkin tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidup saya.
“Saya bersama Kapten Osman pernah dipintas buat kali pertama di Greece sebelum meneruskan pelayaran bersama pasukan di Turki dan sekali lagi dipintas di perairan antarabangsa.
“Kami turut menjadi saksi kepada keganasan tentera Zionis Israel terhadap aktivis yang tidak bersenjata apabila dilayan secara kasar dan brutal. Namun, apa yang kami lalui ini masih tidak dapat dibandingkan dengan penderitaan yang telah ditempuh rakyat Palestin selama bertahun-tahun,” katanya.
Sementara itu, Patmanathan Sivasamy atau dikenali sebagai Kapten Siva merupakan rakyat Malaysia berbangsa India, merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka sepanjang misi berkenaan.
“Jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan kami sehingga berjaya pulang ke tanah air, walaupun berdepan insiden dipintas selepas menjejakkan kaki di bumi Palestin.”
“Selepas ini, saya dan keluarga akan terus bertekad memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan Gaza. Saya tidak akan berhenti.
“Saya juga berharap dan memohon agar Siva tidak diketepikan daripada mana-mana misi kemanusiaan pada masa akan datang,” katanya.