
SEPANG, 25 Mei – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menegaskan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tidak boleh dianggap gagal, sebaliknya berjaya memberi impak besar dari sudut sokongan dan capaian di peringkat antarabangsa.
- Kempen tetap capai objektif meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap isu Palestin walaupun berdepan cabaran di lapangan.
- Selepas pintasan 29 April, perkongsian gerakan mencecah 1.5 bilion 'engagement' dan 'reach' di platform utama.
- Sumud Nusantara merekodkan lebih 50 juta capaian Instagram dalam sebulan, membuktikan tarikan perhatian masyarakat antarabangsa.
Berucap pada sidang media di KLIA Terminal 1 malam ini, beliau berkata gerakan solidariti itu tetap mencapai objektif utama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap isu Palestin walaupun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.
“Saya dengan berbesar hati boleh menyatakan bahawa Global Sumud Flotilla 2.0 tidak gagal”, katanya.
Menurut beliau, meskipun berlaku insiden pintasan terhadap misi tersebut pada 29 April lalu, kempen berkenaan tetap memberi kesan besar terhadap naratif perjuangan Palestin serta sokongan global.
“Selepas insiden pintasan pertama pada 29 April, capaian perkongsian di platform Global Sumud Flotilla mencecah 1.5 bilion ‘engagement’ dan ‘reach’ di laman utama gerakan itu. Itu belum termasuk Sumud Nusantara yang merekodkan lebih 50 juta capaian di Instagram dalam tempoh sebulan,” katanya.
Tambah beliau, angka itu membuktikan gerakan solidariti berkenaan berjaya menarik perhatian masyarakat antarabangsa menerusi media sosial.