Pasukan F: Simbol ketahanan dan kedaulatan negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Sumbangan Pasukan F Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras ancaman komunis perlu terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah keselamatan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranan rahsia Pasukan F sebagai wira senyap dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara harus diakui.
  • Usaha mendokumentasikan sejarah PDRM dan Pasukan F adalah penghormatan kepada generasi terdahulu dan amanah kepada generasi akan datang.
  • Kerjasama PDRM dengan Arkib Negara memelihara warisan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, walaupun bergerak secara rahsia, peranan pasukan itu penting dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sejarah negara tidak hanya dibentuk oleh peristiwa yang diketahui umum. Ada perjuangan yang berlangsung dalam senyap, jauh daripada perhatian masyarakat, tetapi membawa kesan besar kepada keselamatan dan masa depan negara. Pasukan F merupakan sebahagian daripada sejarah perjuangan tersebut.

“Cabaran kita pada hari ini bukan sekadar memelihara rekod sejarah tetapi juga memastikan sejarah dapat diakses, difahami dan dihayati oleh masyarakat, khususnya generasi muda, katanya selepas merasmikan Majlis Pengkisahan Sejarah Pasukan F: Wira Dalam Senyap, Benteng Keselamatan Negara di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid berkata, jasa dan pengorbanan anggota ‘Pasukan F’ perlu dihargai sebagai sebahagian daripada warisan PDRM.

“Hakikat yang perlu kita fahami bersama ialah tidak semua kejayaan dapat disaksikan oleh mata masyarakat dan tidak semua pengorbanan boleh dinukilkan secara terbuka. Namun setiap pengalaman dan sumbangan yang dicurahkan oleh warga Pasukan F ini tetap menjadi sebahagian daripada warisan institusi Sang Saka Biru yang sangat wajar untuk dikenang dan dihargai.

“Usaha mendokumentasikan sejarah PDRM merupakan satu bentuk penghormatan kepada generasi terdahulu dan amanah kepada generasi akan datang,” katanya

Kerjasama PDRM dan Arkib Negara Malaysia dalam mendokumentasikan sejarah Pasukan F diharap dapat memelihara warisan berkenaan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Pasukan F ditubuhkan pada 1 Mac 1971 dengan diterajui Senior Asisstan Komisioner (SAC) Datuk Dr. Leong Chee Who sebagai ketua pertama untuk memperkukuh usaha risikan dalam mengekang ancaman komunis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.