
SEPANG, 25 Mei – Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas dalam isu Palestin.
- Perjuangan membebaskan Gaza terus berlanjut walau misi GSF 2.0 telah berakhir.
- Cadangan menganjurkan konferens dan persidangan antarabangsa untuk memecah kebisuan dunia terhadap penderitaan Palestin.
- GSF 2.0 simbol keberanian rakyat Malaysia, menegaskan solidariti merentasi perbezaan politik demi pembebasan Gaza.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah berakhir, perjuangan membebaskan Gaza daripada kekejaman rejim Zionis Israel tidak akan terhenti.
Menurut beliau, komitmen itu akan diteruskan menerusi cadangan penganjuran konferens dan persidangan antarabangsa berkaitan Palestin di Malaysia pada masa hadapan.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memecahkan kebisuan masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin.
“Kita mahu setiap aspek perjuangan ini terus diperkasa dan diperluaskan sehingga impian untuk melihat Gaza dibebaskan dapat direalisasikan.
“Insya-Allah, saya yakin usaha ini akan mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli Parlimen. Malaysia juga antara negara yang menunjukkan solidariti paling kuat merentasi perbezaan politik demi rakyat Gaza dan Palestin. Sebab itu Malaysia tidak akan terus berdiam diri,” kata beliau pada sidang media bersempena ketibaan aktivis Malaysia daripada misi GSF 2.0 di KLIA Terminal 1, hari ini.
Sementara itu, beliau menyifatkan GSF 2.0 sebagai simbol keberanian rakyat Malaysia yang sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi perjuangan kemanusiaan.
Ia khususnya dalam usaha membangkitkan semangat solidariti masyarakat dunia untuk membuka mata terhadap pembebasan Gaza daripada rejim Israel.