
KUALA LUMPUR, 12 Oktober –Keberhasilan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dilihat lebih jauh daripada angka kebolehpasaran graduan.
- Perkenalkan indikator peratus graduan yang memperoleh pekerjaan bergaji bermaruah serta mengukur perkembangan pendapatan selepas bekerja.
- KPT perlu tetapkan penanda aras mengikut kelayakan, jenis pekerjaan dan kos sara hidup semasa.
- Lakukan penilaian susulan pada 12, 24 dan 36 bulan untuk menilai mobiliti kerjaya, perkembangan pendapatan dan kesesuaian kemahiran.
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, penilaian itu perlu turut mengambil kira pulangan yang diterima graduan selepas menamatkan pengajian dan memasuki alam pekerjaan.
“Namun, pada pandangan saya, ukuran tersebut perlu diperkukuh dengan memberikan perhatian kepada tahap pendapatan dan kualiti pekerjaan yang diperoleh graduan.
“Bayangkan sebuah universiti mencatatkan kadar bekerja graduan hampir 100 peratus. Angka itu kelihatannya cukup baik, tetapi hakikatnya graduan mereka menerima gaji yang rendah dan tidak menunjukkan perkembangan pendapatan yang memberangsangkan selepas beberapa tahun bekerja,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, di Dewan Rakyat.
Menurut Datuk Seri Dr. Zaliha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu memperincikan penanda aras bagi menilai pendapatan graduan berdasarkan kelayakan, jenis pekerjaan dan kos sara hidup semasa.
“Sebab itu, saya ingin mencadangkan agar KPT memperkenalkan satu indikator khusus mengenai peratusan graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan dengan gaji bermaruah.
“Kita perlu mempunyai penanda aras yang jelas dengan mengambil kira tahap kelayakan, jenis pekerjaan dan juga kos kehidupan semasa. Kadar bekerja graduan masih boleh dikekalkan, manakala indikator gaji bermaruah akan memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai pulangan pelaburan pendidikan tinggi negara kita,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan penilaian susulan selepas 12, 24 dan 36 bulan graduan menamatkan pengajian bagi mengukur perkembangan pendapatan, mobiliti kerjaya serta keupayaan memperoleh pekerjaan dengan pulangan yang lebih baik.
Menurutnya, penilaian itu juga perlu mengambil kira sejauh mana kemahiran yang diperoleh di IPT dapat dimanfaatkan dalam pekerjaan serta kesesuaiannya dengan keperluan industri.