
SEREMBAN, 26 Julai – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diseru berlangsung secara matang, berhemah dan berasaskan fakta tanpa memainkan sentimen perkauman, agama serta institusi diraja atau isu 3R.
- Medan demokrasi adalah ruang untuk menawarkan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada isu rakyat.
- PRN merupakan peluang menentukan masa depan negeri, bukan gelanggang mencetuskan sentimen yang memecahbelahkan masyarakat.
- Masih wujud pihak menggunakan sentimen perkauman dan menyebar fitnah sehingga mengalih perhatian daripada isu sebenar.
- Pakatan Harapan terus mengamalkan politik sederhana, inklusif dan mengutamakan kepimpinan yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, medan demokrasi seharusnya menjadi ruang kepada parti politik menawarkan idea, dasar, rekod pencapaian serta penyelesaian terhadap isu rakyat, bukannya menyemai kebencian atau perpecahan demi meraih undi.
Beliau menegaskan, PRN Negeri Sembilan ke-16 merupakan peluang untuk rakyat menentukan masa depan negeri dan bukannya gelanggang untuk mencetuskan sentimen yang memecahbelahkan masyarakat.
“Pilihan raya negeri ini adalah medan demokrasi untuk rakyat memilih masa depan negeri. Ia bukan gelanggang untuk menyemai kebencian, memainkan sentimen perkauman, agama atau menyentuh institusi diraja.
“Parti-parti yang bertanding sepatutnya bersaing dengan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada permasalahan rakyat, bukan menggunakan politik kebencian atau politik yang memisah-misahkan,” katanya pada sidang media Kempen PRN Perlu Bebas Rasisme 3R di Klana Resort, di sini.
Menurut Fahmi, meskipun kempen kini memasuki hari kesembilan, masih terdapat pihak yang menggunakan sentimen perkauman serta menyebarkan fitnah sehingga mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti agar menghormati undang-undang pilihan raya serta memastikan kempen berlangsung secara matang, berhemah dan berpandukan fakta.
Tambah beliau, Negeri Sembilan terkenal sebagai negeri yang aman dan harmoni, justeru perpaduan yang sekian lama dibina tidak wajar dipertaruhkan demi kepentingan politik.
Dalam masa sama, katanya, Pakatan Harapan akan terus membawa pendekatan politik sederhana, inklusif dan membina dengan mengutamakan kepimpinan yang bekerja serta menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.