
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Tumpat, Kelantan.
- Penghantaran sumbangan seperti komputer riba, papan pintar, tablet, bahan bacaan, biasiswa, bakul makanan dan topi keledar kepada sekolah dan komuniti.
- Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni MADANI menjadi platform KPM mendekati masyarakat, memahami keperluan dan mengenalpasti isu serta potensi setempat.
- Pelaksanaan mencerminkan komitmen KPM memperkukuh hubungan institusi pendidikan dengan komuniti dan memastikan manfaat pembangunan sampai secara langsung.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, peruntukan berkenaan bagi memastikan tiada jurang pendidikan antara murid-murid luar bandar dan bandar terutamanya dari segi akses kepada pendidikan berkualiti.
“Selain peruntukan yang diumumkan Ketua Setiausaha, Datuk Wan Hashim Wan Rahim ketika merasmikan Majlis Penutup Program Santuni MADANI, beliau turut menyampaikan pelbagai sumbangan kepada sekolah dan komuniti setempat, termasuk komputer riba, papan pintar, tablet, bahan bacaan, biasiswa Diploma Kejururawatan, bakul makanan dan topi keledar.
“Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) menjadi platform KPM mendekati masyarakat, memahami keperluan penduduk dan mengenalpasti isu serta potensi setempat.
“Pelaksanaan program tersebut turut mencerminkan komitmen kementerian dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti, selain memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung masyarakat,”menurut kenyataan KPM.