Malaysia meterai MoU perolehan aset secara G2G dengan dua negara

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto fail BERNAMA

PORT DICKSON, 26 Julai – Malaysia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama perolehan pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan Turkiye dan Korea Selatan, manakala Itali serta Perancis turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama sama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan G2G membolehkan perolehan lebih telus, menjimatkan kos dan mengurangkan penglibatan orang tengah.
  • Kerajaan hanya akan bekerjasama dengan negara dipercayai yang bersedia memindahkan teknologi untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.
  • Spesifikasi aset ditentukan setiap cabang ATM mengikut keperluan operasi; perolehan dilaksanakan berdasarkan keperluan ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan semakin banyak negara terhadap pendekatan G2G yang diperkenalkan Malaysia dalam urusan perolehan aset pertahanan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan proses perolehan dilaksanakan secara lebih telus, menjimatkan kos dan mengurangkan penglibatan orang tengah.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan kerjasama itu hanya melibatkan negara yang diyakini serta bersedia memindahkan teknologi bagi membantu membangunkan industri pertahanan tempatan.

“Pendekatan ini merupakan kaedah baharu yang akan kita laksanakan. Pada masa sama, kita mahu memastikan urusan itu dijalankan dengan negara yang boleh dipercayai serta bersedia memindahkan teknologi bagi membantu membangunkan industri pertahanan tempatan. Kita mempunyai beberapa kriteria yang akan digunakan dalam memilih rakan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, spesifikasi aset pertahanan ditentukan oleh setiap cabang perkhidmatan ATM mengikut keperluan operasi, manakala kerajaan melaksanakan proses perolehan berdasarkan keperluan yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.