Jangan jadikan laporan RCI TH polemik politik – TPM Zahid

Foto BERNAMA

GEMAS, 26 Julai – Isu berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) diharap tidak dipolitikkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan RCI perlu dilihat secara profesional dan dijadikan asas mencari penyelesaian, bukan dijadikan polemik yang menjejaskan institusi.
  • Keyakinan pendeposit terhadap TH semakin meningkat dan tidak harus dirosakkan oleh tafsiran tidak tepat terhadap dapatan RCI.
  • Pembentangan hasil RCI perlu didedahkan kepada umum; kerugian TH bukan disebabkan penyelewengan, pecah amanah atau salah pengurusan.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata laporan berkenaan perlu dilihat secara profesional dan dijadikan asas untuk mencari jalan penyelesaian, bukannya dijadikan polemik yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.

Menurutnya, keyakinan pendeposit terhadap TH kini semakin meningkat dan tidak seharusnya dirosakkan hanya disebabkan tafsiran yang tidak tepat terhadap dapatan RCI tersebut.

“Jadi hasil dapatan daripada siasatan itu, bagi saya ianya harus dibentangkan dan harus didedahkan kepada umum. Saya mendukung hasrat Perdana Menteri untuk membuat pembentangan terhadap hasil siasatan berkenaan kerana ketika itu kerugian TH bukan disebabkan oleh penyelewengan, bukan disebabkan oleh pecah amanah, bukan disebabkan oleh salah pengurusan.

“Dan saya harap isu ini bukan isu yang dipolitikkan ketika PRN Negeri Sembilan. Ia harus dilihat daripada segi profesional dan sebarang laporan pengauditan dan laporan siasatan hendaklah menjurus ke arah mencari jalan penyelesaian, bukan mengeruhkan keadaan kerana keyakinan pelabur, pencarum kepada TH semakin meningkat dan jangan dirosakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Sementara itu, beliau juga yakin pembentangan laporan RCI berkenaan ketika tempoh kempen PRN tidak menjejaskan keputusan rakyat.

Katanya, pengundi di Negeri Sembilan cukup matang untuk menentukan gabungan yang layak diberi mandat berdasarkan prestasi dan rekod pentadbiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.