Rakyat Sarawak semakin tolak politik perkauman, mahukan pembangunan – Abang Johari

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg/Foto RTM Sarawak

SIBU, 26 Julai – Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rakyat Sarawak kini semakin menolak politik perkauman, sebaliknya mahukan kerajaan yang mampu membawa pembangunan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepimpinan perlu berteraskan ilmu, keupayaan dan keadilan, bukan berdasarkan kaum atau agama.
  • Dasar inklusif PBB dan GPS memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
  • Pelantikan pegawai berasaskan kelayakan dan merit termasuk kepimpinan di Petros.
  • Kestabilan politik, pemimpin muda dan pertahanan hak Sarawak di bawah MA63 penting untuk pembangunan 2030.

Beliau berkata politik yang bersandarkan kaum dan agama tidak lagi sesuai dalam era baharu dipacu teknologi digital, sebaliknya kepimpinan perlu berteraskan ilmu, keupayaan dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Majoriti rakyat mahukan pembangunan dan kehidupan lebih baik, bukan lagi politik perkauman. Dalam era digital hari ini, yang penting ialah kebijaksanaan, ilmu dan kemampuan, bukannya kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di sini hari ini.

Abang Johari berkata kejayaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memacu pembangunan negeri membuktikan dasar inklusif yang diamalkan PBB memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik.

Premier Sarawak dan Pengerusi GPS itu berkata pelantikan anak Sarawak daripada pelbagai kaum menerajui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta pelbagai agensi kerajaan membuktikan pentadbiran negeri mengutamakan kelayakan dan merit dalam pelantikan.

Abang Johari berkata sepanjang enam tahun pentadbiran GPS, pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jambatan, jalan raya, bekalan elektrik dan air telah dilaksanakan di seluruh negeri itu, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum.

Pencapaian berkenaan, katanya membuktikan PBB sebagai tunjang GPS bukan sekadar menabur janji, sebaliknya melaksanakan dasar yang membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah atau usaha memecahbelahkan perpaduan dalam PBB kerana kestabilan politik merupakan prasyarat penting untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak.

Abang Johari berkata PBB juga perlu terus melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan perjuangan mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping memastikan negeri itu kekal berada pada landasan mencapai matlamat pembangunan menjelang 2030.
– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.