Diskaun tambang feri ringankan beban penduduk Labuan

Reaksi orang awam / Foto RTM

LABUAN,30 Oktober – Penduduk Labuan menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan inisiatif diskaun 50 peratus tambang feri bagi warganegara Malaysia, menerusi peruntukan RM7 juta dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk gembira kerana penjimatan tambang memudahkan perjalanan keluarga dan urusan harian ke tanah besar.
  • Bantuan tambang meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang sering pulang kampung.
  • Diskaun tambang membantu keluarga besar kurangkan kos perjalanan berbanding kos penerbangan yang tinggi.

Ia bagi memastikan kemudahan itu terus dinikmati orang ramai, khususnya mereka yang kerap berulang-alik ke tanah besar untuk urusan keluarga, mendapatkan barangan keperluan dan memenuhi komitmen peribadi.

Bagi orang awam, Norhasiken Mohd Dahli, penjimatan tambang feri memudahkannya bersama keluarga ke Kota Kinabalu untuk menguruskan pelbagai urusan.

“Dengan adanya penjimatan tiket feri ini, memang sesuailah untuk saya yang bekerja di Labuan. Ia memudahkan saya untuk ke seberang, sama ada bagi urusan keluarga atau membeli barangan keperluan yang tiada di Labuan.

“Jadi, saya boleh bersama keluarga ke Kota Kinabalu untuk berurusan dan membeli-belah. Selain itu, kemudahan ini juga tidak membebankan kami dari segi kewangan,” katanya.

Sementara itu, Razuin Milin berpendapat penjimatan tambang pula membantu mengurangkan perbelanjaan perjalanan secara berulang.

“Sebagai penduduk Labuan, setiap minggu saya akan pulang ke kampung untuk melawat keluarga melihat kemudahan ini amat membantu, khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

“Bagi mereka yang bergaji bulanan mungkin kesannya tidak begitu besar, tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, penjimatan ini sangat bermakna,” ujarnya.

Sementara itu, Muharna @ Ana Shariff Mucklie berpandangan, diskaun berkenaan dapat membantu mengurangkan kos perjalanan keluarganya, khususnya ketika pulang ke kampung halaman.

“Saya berasal dari Kudat, Sabah dan biasanya membeli tiket lebih awal. Saya mempunyai enam orang anak, jadi diskaun ini mungkin dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kami untuk membeli tiket.

“Kalau menggunakan kapal terbang, harga tiket sekarang RM198 seorang. Jadi, kalau enam hingga lapan orang, jumlahnya boleh mencecah ribuan ringgit hanya untuk pulang ke Sabah,” katanya.

Secara keseluruhannya, penduduk melihat inisiatif itu sebagai langkah yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, khususnya bagi isi rumah yang bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menghubungkan Labuan dengan tanah besar.

Peruntukan RM7 juta menerusi Belanjawan 2027 itu diharap dapat memberikan manfaat berterusan kepada penduduk, sekali gus memudahkan pergerakan mereka bagi urusan keluarga, pekerjaan dan keperluan harian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.