Kebakaran: Siap siaga komuniti perlu diperkukuh bagi kurangkan risiko kehilangan nyawa

Datuk Othman Abdullah merasmikan Balai PBS Tanjung Aru/Foto RTM

LABUAN, 26 Jun – Keselamatan dan kesiapsiagaan komuniti perlu terus diperkukuh bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sekiranya berlaku insiden kebakaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Labuan menerima 277 panggilan kecemasan antara 1 Jan hingga 22 Jun: 137 kes kebakaran, 138 operasi penyelamatan, dua tugas khas.
  • Nilai harta diselamatkan dianggarkan melebihi RM528 juta, manakala kerugian direkodkan sekitar RM30 juta.
  • PBS berperanan sebagai rakan strategik JBPM dalam pencegahan dan operasi; Tanjung Aru ditubuhkan 2007, lima PBS aktif di Labuan dengan 88 ahli.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Othman Abdullah memaklumkan bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Jun lalu, JBPM Labuan menerima 277 panggilan kecemasan melibatkan 137 kes kebakaran, 138 operasi penyelamatan dan dua tugas khas.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu nilai harta yang berjaya diselamatkan dianggarkan melebihi RM528 juta, manakala kerugian direkodkan berjumlah RM30 juta.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Balai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Aru di sini.

Katanya, PBS memainkan peranan penting sebagai rakan strategik JBPM dalam menyampaikan mesej pencegahan kebakaran, meningkatkan kesiapsiagaan awal serta memperkukuh keselamatan komuniti.

PBS Tanjung Aru yang ditubuhkan pada tahun 2007 kini mempunyai 20 ahli dan dilengkapi pelbagai aset serta peralatan asas kebombaan bagi membantu operasi kecemasan di kawasan setempat.

Ketika ini, terdapat lima PBS yang aktif di Labuan iaitu PBS Tanjung Aru, PBS Kerupang/Nagalang, PBS Gersik/Saguking, PBS Sungai Lada dan PBS Lubok Temiang dengan jumlah 88 ahli berdaftar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.