Pengguna Perlis sambut baik penurunan harga diesel bersubsidi

Foto BERNAMA

KANGAR, 26 Jun – Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM 2.10 seliter berkuat kuasa 1 Julai ini dilihat satu langkah proaktif dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya pengguna diesel yang terkesan secara langsung dengan turun naik harga bahan api berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk Perlis menyambut baik langkah itu, melihat kerajaan mendengar rintihan rakyat semasa tekanan ekonomi.
  • Manfaat luas kepada pekerja dan peniaga melalui penjimatan kos operasi, terutama pengguna diesel harian.
  • Penyaringan subsidi menggunakan MyKad dijangka kurangkan ketirisan dan pastikan bantuan sampai kepada rakyat yang layak.
  • Penurunan harga diharap turunkan harga barangan serta memberi ruang rakyat mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.

Di Perlis, mereka yang ditemui menyambut baik langkah tersebut sekali gus membuktikan kerajaan bersedia mendengar rintihan rakyat di sebalik tekanan ekonomi semasa yang dihadapi ketika ini.

Langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang bekerja dalam pelbagai sektor, malah memberikan kesan positif kepada peniaga dalam penjimatan kos operasi.

Penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan MyKad juga dilihat mampu mengurangkan ketirisan, lebih efisien dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar seperti yang dilaksanakan dalam Budi Madani RON95 (BUDI95).

Pengguna diesel, Muhammad Alif Muhaizar, berkata harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter adalah berpatutan.

“Harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter adalah berpatutan memandangkan jumlah pengguna diesel di Malaysia yang agak ramai. Langkah ini dapat membantu meringankan beban mereka yang bergantung kepada diesel dalam urusan harian.

“Penggunaan MyKad sebagai mekanisme penyasaran subsidi juga dilihat sesuai dan menghalang individu yang tidak layak, seperti warga asing, daripada menikmati subsidi yang sepatutnya hanya diberikan kepada rakyat Malaysia. Dengan pelaksanaan ini, pengagihan subsidi akan menjadi lebih terkawal”, katanya.

Manakala, pengguna diesel, Mohd Syauqee Mohd Fawzi, berharap penurunan harga diesel bersubsidi dapat membantu menurunkan harga barangan serta memberi kelegaan kepada rakyat.

“Dengan pengurangan ini, saya rasa baguslah untuk rakyat. Penggunaan MyKad mampu memastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

Sementara itu, peniaga buah durian Mohd Ilhami Mad Tajudin, menyifatkan langkah kerajaan itu mengurangkan beban rakyat.

“Sebelum ini, harga diesel mencecah lebih RM4 seliter. Penurunan kepada harga subsidi memang amat membantu. Saya menggunakan pikap untuk urusan kerja kerana lebih praktikal berbanding lori, terutama untuk membawa peralatan ke lokasi acara. Jadi, subsidi ini dapat mengurangkan kos penggunaan harian saya”, ujar Mohd Ilhami.

Penurunan harga ini wajar dilihat sebagai ruang untuk rakyat mengurus keperluan dengan lebih baik dan memanfaatkan lebihan nilai wang dibelanjakan untuk keperluan seharian yang lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.