Kanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dalam sungai

Foto JBPM Selangor

SUNGAI BULOH, 24 Mei – Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berdekatan Damansara Damai petang semalam, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ditemukan kira-kira 1.9 kilometer dari lokasi dilaporkan terjatuh.
  • Panggilan kecemasan diterima pada jam 4.30 petang; jentera BBP Sungai Buloh tiba dalam 12 minit.
  • Operasi melibatkan PPDA BPP Shah Alam menggunakan 'surface searching' sepanjang dua kilometer; pencarian ditangguhkan pada 9.00 malam.
  • Mayat dibawa naik pada 10.47 pagi, disahkan meninggal dunia pada 11.00 pagi, dan diserahkan kepada polis selepas pengecaman keluarga.

Mangsa, Paulus Amsal Jimri, 11, itu ditemukan kira-kira 1.9 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang.

Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 12 minit kemudian.

Operasi pencarian dijalankan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BPP Shah Alam menggunakan teknik “surface searching” di sepanjang sungai sejauh dua kilometer.

Bagaimanapun operasi pencarian hari pertama terpaksa ditangguhkan pada pukul 9.00 malam susulan faktor keselamatan.

Operasi berkenaan kemudiannya disambung pagi tadi dengan anggota melakukan pencarian menyusuri tebing sungai dari Jambatan Paya Jaras Hilir hingga Jambatan Merbau Sempak.

Menurutnya, pihak bomba menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di tepi sungai di Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh pada pukul 10.00 pagi.

“Mangsa berjaya dibawa naik oleh pasukan PPDA pada 10.47 pagi sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 pagi,” katanya.

Proses pengecaman mayat kemudian dilakukan oleh ahli keluarga sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.