Media tempatan sukar jana pendapatan di TikTok, kerajaan sedia berbincang – Fahmi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan platform media sosial khususnya TikTok bagi meneliti isu penjanaan pendapatan kandungan media sosial melibatkan organisasi media tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengamal media dan ketua pengarang mengadu mereka tidak boleh melakukan monetisasi di beberapa platform sosial.
  • Platform sering menggunakan kandungan berkualiti syarikat media tetapi wujud kekangan untuk organisasi menjana pendapatan.
  • Siaran langsung media menarik tontonan tinggi namun disekat daripada menerima ganjaran atau "gift"; memerlukan timbal balas lebih adil.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil susulan rungutan dan maklum balas yang dibangkitkan oleh para pengamal media serta ketua-ketua pengarang dalam beberapa siri pertemuan yang diadakan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, meskipun banyak platform media sosial menggunakan kandungan berkualiti yang dihasilkan oleh syarikat media, namun wujud kekangan tertentu untuk organisasi terbabit menjana pendapatan menerusi platform berkenaan.

“Ketua-ketua pengarang mengadu mereka tidak boleh melakukan monetisasi ataupun menjana pendapatan melalui platform berkenaan.

“Saya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok bagi melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu media di Malaysia,” katanya demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pavilion Bukit Jalil, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizal Datuk Abu Samah.

Mengulas lanjut, Fahmi mendedahkan terdapat situasi di mana sesi siaran langsung yang dikendalikan oleh organisasi media menerusi akaun rasmi mereka berjaya menarik puluhan hingga ratusan ribu penonton, namun disekat daripada menerima sebarang ganjaran atau “gift” daripada pengguna.

Tegas beliau, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan jumlah tontonan yang tinggi itu dipengaruhi secara langsung oleh kekuatan jenama serta kredibiliti yang dimiliki oleh organisasi media terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap agar penyedia platform media sosial dapat mempertimbangkan bentuk timbal balas yang lebih adil dan saksama kepada organisasi media tempatan yang menyumbang kepada trafik kandungan mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.