
- PMKS yang memerlukan modal boleh memohon pembiayaan melalui agensi bawah KUSKOP seperti TEKUN, AIM, SME Bank, Bank Rakyat.
- Semua agensi akan memproses permohonan dan menyalurkan bantuan kepada usahawan yang layak untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
- KUSKOP mensasarkan saluran RM15 bilion kepada sektor PMKS; setakat hujung April kira-kira RM4 bilion disalurkan, manfaat kepada lebih 10,000 syarikat.
- KUSKOP turun padang untuk mendekati usahawan dan menyampaikan maklumat pembiayaan selaras aspirasi Perdana Menteri agar lebih ramai manfaat.
GEORGE TOWN, 24 Mei – Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memerlukan suntikan modal tambahan masih berpeluang mendapatkan pembiayaan menerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata usahawan yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada beberapa agensi berkaitan seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank Malaysia dan Bank Rakyat.
Menurut beliau, semua agensi berkenaan akan memproses permohonan serta menyalurkan bantuan kepada usahawan yang layak bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka.
“KPI kita tahun ini adalah untuk menyalurkan RM15 bilion daripada KUSKOP ke dalam sektor PMKS. Setakat hujung April, kita telah berjaya menyalurkan kira-kira RM4 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 syarikat dan usahawan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Madani Koperasi (JMK) KUSKOP 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang di sini.
Tambah Steven Sim, masih ramai usahawan yang belum mengetahui mengenai agensi yang menyediakan dana pembiayaan kepada PMKS.
Sehubungan itu, KUSKOP mengambil pendekatan turun padang bagi mendekati usahawan dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan pembiayaan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.###