
KUALA LUMPUR, 24 Mei -Usaha literasi digital dalam kalangan pengguna media sosial akan terus ditingkatkan bagi memastikan penyebaran kandungan dalam talian lebih beretika dan bertanggungjawab.
- Kongsi video dashcam atau berkaitan jenayah boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa.
- Siasatan jenayah di bawah bidang kuasa PDRM, perkongsian boleh menjejaskan siasatan.
- Kementerian dan MCMC sedia tingkatkan kesedaran tentang batas perkongsian serta privasi mangsa.
- Orang ramai diminta bertanggungjawab dan hormati permintaan keluarga bagi elak implikasi perundangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, komitmen bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu penting terutama melibatkan perkongsian video kamera papan pemuka kereta atau kandungan berkaitan insiden jenayah yang boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa.
Menurut beliau, siasatan jenayah berada bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala pihak kementerian dan MCMC bersedia membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai batas perkongsian kandungan di media sosial.
“Kadangkala dalam sebaran video dashcam, terdapat elemen yang mungkin menyinggung keluarga mangsa dan perkara itu perlu kita sensitif,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pavilion Bukit Jalil, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizal Datuk Abu Samah.
Tambah Datuk Fahmi, pihak media kebiasaannya memahami batas tertentu dalam menjaga aib mangsa, namun pengguna biasa media sosial mungkin masih kurang cakna mengenai perkara berkenaan.
“Pengguna platform media sosial perlu memahami bahawa walaupun mereka bebas memuat naik kandungan, terdapat situasi tertentu yang memerlukan pertimbangan sewajarnya, khususnya jika melibatkan elemen siasatan atau privasi keluarga mangsa.
“Kerajaan berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan menghormati permintaan keluarga mangsa agar privasi serta maruah mereka terus terpelihara,”katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab sebelum memuat naik rakaman video berkaitan kejadian jenayah atau salah laku menerusi media sosial.
Ini kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan selain memberi implikasi daripada sudut perundangan.
Jelasnya, terdapat segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial tanpa memahami kesan terhadap siasatan pihak berkuasa.