
ALOR SETAR, 24 Mei – Gara-gara cukai jalan dan insurans tamat tempoh, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire dipercayai milik seorang pemain bola sepak kebangsaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.
- Kenderaan ditahan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ Kedah di hadapan Penjara Alor Setar, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah sekitar 11.30 pagi.
- Pemandu berusia 29 tahun merupakan abang ipar kepada pemain bola sepak kebangsaan.
- JPJ Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diperhebatkan untuk memastikan pematuhan undang-undang tanpa mengira status.
Kenderaan tersebut ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ Kedah dalam Op Luxury di hadapan Penjara Alor Setar, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, kira-kira pukul 11.30 pagi Khamis lalu.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata semasa ditahan MPV berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan abang ipar kepada pemain bola sepak terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, Lesen Kenderaan Motor MPV berkenaan telah tamat tempoh pada 18 November tahun lalu, selain tidak mempunyai perlindungan insurans.
Hasil soal siasat, pemandu kenderaan terbabit memaklumkan beliau tidak mengetahui cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh.
Menurut Stien Van Lutam, operasi khas itu dijalankan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya tanpa mengira status atau latar belakang.
Tegas beliau, JPJ Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi.