RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dibentang

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini bagi memastikan kerangka perundangan berkaitan pembangunan sukan kekal relevan dengan perkembangan ekosistem sukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 termasuk pengurusan dan pelupusan harta serta liabiliti badan sukan dibatalkan untuk lindungi pemiutang dan pihak berkepentingan.
  • Menguatkan tadbir urus dan penguatkuasaan dengan kuasa menteri menetapkan peraturan pematuhan antidoping antarabangsa serta perkara berkaitan keselamatan dalam sukan.
  • Perubahan nama, tempat urusan, alamat berdaftar atau surat-menyurat serta pindaan perlembagaan badan sukan memerlukan kelulusan Pesuruhjaya Sukan; kegagalan dianggap kesalahan.
  • Menteri diberi kuasa mengisytiharkan badan sukan menyalahi undang-undang jika digunakan bagi tujuan memudaratkan atau bertentangan dengan keselamatan, ketenteraman awam atau moral.

Pindaan itu turut memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus dan penguatkuasaan dalam sektor sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menurut naskhah biru RUU yang disiarkan di portal Parlimen, pindaan itu bertujuan meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan melibatkan beberapa perkara berkaitan pengurusan badan sukan.

Antaranya termasuk pengurusan dan pelupusan harta serta liabiliti badan sukan yang pendaftarannya dibatalkan bagi melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.

Pindaan itu juga mencadangkan kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan berkaitan pematuhan kewajipan antarabangsa mengenai antidoping serta perkara berkaitan keselamatan dalam sukan.

Selain itu, badan sukan tidak boleh menukar nama, tempat urusan, alamat berdaftar atau alamat surat-menyurat tanpa mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan terlebih dahulu.

Sebarang pindaan terhadap perlembagaan atau kaedah badan sukan juga memerlukan kelulusan Pesuruhjaya Sukan dan kegagalan mematuhi ketetapan itu boleh menjadi suatu kesalahan.

RUU berkenaan turut mencadangkan kuasa kepada menteri untuk mengisytiharkan sesuatu badan sukan sebagai menyalahi undang-undang jika badan itu digunakan bagi tujuan yang memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau moral.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.