KK baharu di Sungai Petani beri manfaat kepada 500,000 penduduk

Foto Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

SUNGAI PETANI, 5 Oktober – Pembukaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani baharu di sini bernilai RM38.73 juta dijangka membantu mengurangkan kesesakan pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani terutama bagi kes ringan atau Zon Hijau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Klinik mampu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 500,000 penduduk Daerah Kuala Muda, dengan kapasiti sehingga 1,200 pesakit sehari.
  • Pengoperasian klinik akan mengurai kesesakan pesakit luar HSAH dengan menyerap kes ringan atau Zon Hijau, meningkatkan fokus rawatan pakar dan kecemasan.
  • Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan khas RM398,800 untuk pembaikan, naik taraf fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.
  • Kejayaan projek diukur menerusi kecekapan rawatan dan kualiti layanan; ihsan, empati serta profesionalisme kekal teras penyampaian perkhidmatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran Facebook, fasiliti itu mampu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 500,000 penduduk sekitar Daerah Kuala Muda dengan kapasiti kedatangan sehingga 1,200 pesakit sehari.

“Pembukaan klinik berkapasiti besar itu amat kritikal dalam strategi mengurai kesesakan pesakit luar di HSAH.

“Apabila kes-kes ringan atau Zon Hijau diserap sepenuhnya ke sini, HSAH kelak boleh memberikan tumpuan optimum kepada rawatan kepakaran, kecemasan, dan trauma yang lebih kompleks,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, beliau menerima penyerahan rasmi projek klinik berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) .

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas RM398,800 bagi tujuan pembaikan, naik taraf fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.

“Cadangan pembinaan ruang parkir bertingkat berkapasiti 150 kenderaan turut diarahkan untuk diteliti segera bagi menampung keperluan pengunjung susulan unjuran kedatangan pesakit yang tinggi.

“Menurutnya menjelang operasi berfasa yang disasarkan bermula 11 Oktober ini, beliau telah memberi arahan tegas agar kesiapsiagaan klinik dan tatakelola aset (termasuk aduan kerosakan di bawah Defect Liability Period) diuruskan dengan cekap tanpa kompromi,” tambah hantaran itu.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kejayaan projek berkenaan tidak hanya diukur berdasarkan nilai jutaan ringgit atau kecanggihan reka bentuk bangunannya.

Sebaliknya, kejayaan itu dinilai menerusi kecekapan rawatan yang diberikan kepada pesakit serta kualiti layanan yang diterima.

Meskipun fasiliti kesihatan dibangunkan dengan teknologi dan kemudahan moden, aspek ihsan, empati dan profesionalisme tetap perlu menjadi teras dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.