fb fb fb fb fb

Jualan tiket KTMB 2026 dibuka mulai 17 November

Tiket perkhidmatan ETS dan KTM Intercity bagi perjalanan dari 1 Januari hingga 30 April 2026 akan dijual bermula 10 pagi pada 17 November 2025 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November - Tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi perjalanan dari 1 Januari hingga 30 April 2026 akan dijual bermula 10 pagi pada Isnin ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi satu kenyataan memaklumkan jualan tersebut turut melibatkan tempoh perjalanan musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah bagi memberi peluang kepada penumpang merancang perjalanan ke kampung halaman atau destinasi percutian mereka lebih awal.

KTMB turut memaklumkan bahawa mulai 1 Januari 2026, perkhidmatan tren ETS dan KTM Intercity kecuali Shuttle Tebrau akan menggunakan jadual waktu baharu.

“Bagi perkhidmatan ETS, sebanyak 34 perkhidmatan harian disediakan manakala dua perkhidmatan tambahan bagi sektor Kluang-KL Sentral-Kluang akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, menjadikan keseluruhan 36 perkhidmatan sehari.

“Sementara itu, KTM Intercity yang merangkumi Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dan Shuttle Timuran (ST) akan menggunakan jadual baharu melibatkan 16 perkhidmatan harian terdiri daripada dua perkhidmatan ERT dan 14 perkhidmatan ST menggunakan tren DMU,” jelas KTMB dalam kenyataan hari ini.

KTMB turut memaklumkan bagi perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor JB Sentral-Gemas-JB Sentral pula, jualan tiket ditangguhkan sementara dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Penumpang disaran merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile, mengikuti maklumat semasa di saluran rasmi media sosial KTMB, laman sesawang rasmi atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

ZAZALI JAMIAN