KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kementerian Komunikasi akan mengetengahkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan, tahun ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, amalan mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan perlu sentiasa dipergiat.
Ia juga perlu bermula dari rumah yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki bersama keluarga tersayang.
"Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Inilah bendera yang kita kibarkan di setiap detik kejayaan yang ditempa di seluruh dunia.
"Saya ingin mengingatkan semua untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh.
"...kerana ia adalah gambaran diri kita sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan di ibu negara hari ini.
Majlis itu dihadiri oleh lebih 1,000 orang terdiri daripada orang awam, Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), Komuniti MADANI, Kelab Malaysiaku, Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL)
Antara pempamer yang hadir adalah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Penyiaran (RTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).