Van KKM kemalangan, tiga pelatih ILKKM cedera

Siasatan awal mendapati pemandu van dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat

IPOH, 23 September – Tiga pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) cedera selepas van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dinaiki mereka bersama lapan penumpang lain terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar/Jalan Sultan Yussuf, di sini, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Van KKM terbalik selepas bertembung dengan sebuah kereta.
  • Tiga pelatih ILKKM mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital.
  • Siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah dalam satu kenyataan memaklumkan, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.25 pagi ketika van berkenaan dalam perjalanan dari arah Pekan Baharu.

Siasatan awal mendapati pemandu van dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat sebelum meneruskan perjalanan, lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Little India menghala ke Padang Ipoh.

Akibat pelanggaran itu, van berkenaan terbalik.

“Tiga pelatih ILKKM mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu van, lapan penumpang lain serta pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan itu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.