
KUCHING, 23 September – Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan memperkukuh kerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), termasuk menyediakan maklumat asas berkaitan pilihan raya bagi membantu pengamal media membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
- UKAS akan menganjurkan bengkel media di beberapa zon Sarawak dengan maklumat DUN, pusat daerah mengundi, bilangan pengundi, demografi dan keputusan lalu.
- Usaha bertujuan memudahkan wartawan membuat liputan ketika menghadapi cabaran ke lokasi dan mendapatkan maklumat kawasan serta calon.
- Kerjasama turut melibatkan perkongsian bahan arkib RTM, termasuk koleksi sejarah dan gambar lama untuk rujukan media dan generasi muda.
- Tarikh PRN belum diputuskan, namun persiapan penyampaian maklumat kepada media sedang dilaksanakan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol berkata, UKAS akan menganjurkan bengkel bersama pengamal media di beberapa zon di Sarawak bagi menyediakan maklumat berkaitan kawasan DUN, pusat daerah mengundi, jumlah pengundi, demografi serta rekod keputusan pilihan raya terdahulu.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memudahkan wartawan mendapatkan maklumat dan membuat liputan, khususnya ketika berdepan cabaran untuk sampai ke lokasi serta mendapatkan maklumat berkaitan kawasan dan calon.
“Kerjasama UKAS dan RTM turut merangkumi perkongsian bahan arkib RTM di Angkasapuri, termasuk koleksi sejarah dan gambar lama Sarawak untuk dimanfaatkan, khususnya oleh generasi muda.
“Maklumat ini penting sebagai bahan rujukan dan pelaporan warga media,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail bersama rombongan ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Datuk Abdullah berkata, tarikh PRN masih belum diketahui, namun persediaan dari aspek penyampaian maklumat kepada media sedang dilaksanakan.