Pemergian DJ Zack titip kenangan buat warga RTM Sarawak

Foto RTM

KUCHING, 23 September – Penyampai RED FM, Allahyarham Azrani Azmi atau lebih dikenali sebagai DJ Zack, 47, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang.
  • Allahyarham berkhidmat lebih 15 tahun bersama RTM Sarawak, bermula sebagai penyampai kontrak sebelum menjadi penyampai tetap.
  • Pengurus RED FM memuji Allahyarham sangat berbakat sebagai juruhebah dan turut menyerlah dalam pengacaraan.
  • Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di tandas pejabat ketika bertugas dan disahkan meninggal akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham terlebih dahulu dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, Kuching.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada dua beradik telah berkhidmat bersama RTM Sarawak lebih 15 tahun, bermula sebagai penyampai kontrak sebelum dilantik sebagai penyampai tetap.

Pengurus RED FM, Uji Morni menyifatkan Allahyarham sebagai penyampai yang sangat berbakat, bukan sahaja dalam bidang penyiaran malah turut menyerlah dalam pengacaraan.

“Beliau merupakan seorang DJ yang sangat-sangat berbakat, bukan sahaja dalam kerjaya sebagai seorang juruhebah, tetapi beliau juga berbakat dalam bidang pengacaraan,”katanya kepada pemberita

Sementara itu, Pengelola RED FM, Nitasha Nozmi menyifatkan Allahyarham bukan sekadar rakan sekerja, malah sebahagian daripada keluarga RED FM.

“Dia bukan setakat seorang staf RED, tapi dia kawan. Kawan yang hari-hari kita jumpa, sebahagian daripada keluarga. Jadi kehilangan dia memang satu kehilangan besar untuk kami,”katanya.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen TV, Penyiaran Sarawak, Muhamat @ Razali Baba turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada warga RTM Sarawak.

“Pada hari ini kita kehilangan seorang rakan, sahabat baik, petugas yang begitu committed, dan juga kakitangan RTM yang menjadi imej RTM sendiri di RTM Sarawak ini,”katanya.

Allahyarham meninggal dunia pada malam Selasa, selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas pejabat RTM Sarawak sekitar pukul 8.40 malam ketika sedang bertugas.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.