Pendirian kekal, surat letak jawatan akan diserah kepada PM – Loke

Anthony Loke / Foto Fail BERNAMA

HANGZHOU, 23 September – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik kembali ke tanah air dari China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Loke menegaskan pendiriannya untuk berundur daripada Kabinet Kerajaan Madani.
  • Ahli Parlimen Seremban umum hasrat meletak jawatan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak.
  • Menteri dan timbalan menteri DAP kekal; Anwar gesa Loke pertimbangkan semula dan elak tekanan terhadap parti.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, pendiriannya untuk berundur daripada Kabinet Kerajaan Madani tidak berubah.

“Keputusan sudah dibuat, akan serahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri sebaik pulang ke Malaysia,” katanya ringkas kepada media Malaysia, di sini.

Loke ketika ini mengiringi Datuk Seri Anwar yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan Kerajaan China.

Ahli Parlimen Seremban itu sebelum ini mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Loke menjelaskan menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan.

Pengumuman itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti berkenaan pada 19 September lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar berharap Loke dapat mempertimbangkan semula keputusannya, selain menggesa semua pihak supaya tidak memberi tekanan kepada DAP untuk keluar daripada kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.