Helikopter AW189 tingkat keupayaan udara Maritim Malaysia

Foto BERNAMA

SUBANG, 13 Ogos – Penerimaan helikopter AW189 mampu memperkasa keupayaan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penguatkuasaan, mencari dan menyelamat (CARILAMAT), evakuasi perubatan (MEDEVAC) serta operasi khas di perairan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan empat helikopter AW189 bernilai RM529 juta diluluskan di bawah RMK4 dan RMK11, kontrak bersama Leonardo (19 Jan 2024–18 Jan 2029).
  • AW189 mampu operasi hingga 1,166 km, kelajuan maksimum 313 km/j, ketahanan penerbangan 5 jam serta membawa lima kru dan 14 penumpang.
  • Penambahan meningkatkan aset udara Maritim daripada enam kepada sembilan unit; baki tiga dijangka tiba menjelang akhir Disember.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penerimaan helikopter pertama daripada empat aset udara baharu itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

“Maritim Malaysia perlu mengawal zon maritim negara yang sangat luas iaitu mencecah 556,285 kilometer persegi serta berdepan pelbagai ancaman seperti pencerobohan nelayan dan kapal asing, penyeludupan senjata, dadah, barangan kawalan hinggalah penyeludupan manusia dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebab itu amat penting untuk kerajaan menunjukkan komitmen serta sokongan padu kepada agensi penguatkuasa seperti Maritim Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang, di sini hari ini.

Perolehan empat unit helikopter bernilai RM529 juta itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) dan RMK11 menerusi kontrak bertempoh dari 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029 bersama syarikat pengeluar, Leonardo.

Helikopter AW189 mampu beroperasi hingga jarak capaian 1,166 kilometer (km) dengan kelajuan maksimum 313km sejam, ketahanan penerbangan hingga 5 jam, selain mampu membawa lima kru serta 14 penumpang.

Menurut Datuk Seri Saifuddin, pihak syarikat berjaya menyiapkan aset berkenaan mengikut jadual, manakala baki tiga lagi unit helikopter AW189 dijangka tiba menjelang akhir Disember ini.

“Penambahan itu bakal meningkatkan jumlah aset udara Maritim Malaysia daripada enam buah ketika ini kepada sembilan unit menjelang akhir tahun,” katanya.

“Teknologi terkini dan infrastruktur hebat akhirnya bergantung kepada individu yang mengendalikannya. Justeru, saya menggesa kepimpinan Maritim Malaysia untuk memberi tumpuan khusus terhadap peningkatan kompetensi warga kerjanya,” tegas beliau lagi.

Sehingga 24 Julai lalu, Maritim Malaysia merekodkan 116,192 pemeriksaan, 26,253 penggeledahan dan 562 tangkapan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion, manakala bagi operasi CARILAMAT pula, sebanyak 129 kes melibatkan penyelamatan 638 mangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menjangkakan penerimaan sebuah lagi aset strategik iaitu kapal induk pada suku pertama tahun depan bagi memperkasakan lagi operasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.