Nilai pelaburan Selangor Aero Park dijangka cecah RM1 bilion

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 13 Ogos – Nilai pelaburan di Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis (SAP) dijangka mencecah RM 1 bilion pada tahun depan, didorong perkembangan sektor aeroangkasa serta minat syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melabur di kawasan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri aeroangkasa tinggi peraturan; proses pemuktamadan pelaburan biasanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun.
  • Pelaburan dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau.
  • Kerja tanah fasa pertama 200 ekar selesai; pembangunan infrastruktur capai 48 peratus, dijangka siap pada suku kedua 2027.
  • Daripada 200 ekar, 100 ekar diperuntukkan kepada GE Aerospace untuk fasiliti MRO enjin; baki 100 ekar dalam rundingan teknikal dan komersial.

EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han berkata, perkembangan itu terus menarik minat pelabur dalam pelbagai segmen industri aeroangkasa termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan, logistik dan kargo udara serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Walau bagaimanapun, industri aeroangkasa merupakan sektor yang mempunyai keperluan teknikal dan kawal selia yang tinggi (highly regulated). Justeru, proses memuktamadkan sesuatu pelaburan atau perjanjian antara pelabur dengan pemilik aset lazimnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun.

“Berdasarkan kemajuan semasa, nilai pelaburan yang dijangka dapat direalisasikan pada tahun depan dianggarkan mencecah RM1.0 bilion. Kerajaan Negeri turut menjangkakan momentum pelaburan akan terus meningkat, sejajar dengan pemulihan kestabilan geopolitik global serta pertumbuhan berterusan industri aeroangkasa di peringkat serantau.

“Pelaburan ini bukan sahaja dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau,” beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Sementara itu, sehingga 20 Julai lalu, kerja tanah bagi fasa pertama SAP seluas 200 ekar telah siap sepenuhnya, manakala pembangunan infrastruktur mencapai 48 peratus.

Pembangunan infrastruktur itu dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2027. Daripada keluasan berkenaan, 100 ekar diperuntukkan kepada GE Aerospace bagi pembangunan fasiliti MRO enjin pesawat.

Manakala, baki 100 ekar pula katanya sedang melalui rundingan teknikal dan komersial dengan beberapa pemain industri aeroangkasa berpotensi yang turut menjangkakan pelaburan itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.