
ALOR GAJAH, 13 Ogos – Kira-kira 14 produk inovasi yang dibangunkan menerusi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya didaftar dan komersialkan.
- Sembilan produk inovasi JKR sedang melalui proses peningkatan Tahap Kesiapsiagaan Teknologi (TRL).
- Semua ciptaan melalui konvensyen perlu dipaten dan dikomersialkan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global.
- Konvensyen KIK JKR melibatkan 54 penyertaan dari Ibu Pejabat, Negeri, Daerah dan CREaTE dalam kategori pengurusan serta teknikal.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, sembilan lagi produk sedang melalui proses peningkatan tahap kesiapsiagaan teknologi (TRL).
Menurut beliau, segala ciptaan dan penghasilan produk inovasi melalui penganjuran konvesyen berkenaan perlu dipaten dan dikomersialkan bagi membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII).
“Kita perlu belajar daripada 10 negara inovasi yang tertinggi di dunia iaitu Switzerland,Sweden, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Finland, Belanda, Jerman, Denmark dan China.
“Sebagai negara ke-34 paling inovatif di dunia, kedudukan ini jauh ke bawah, jadi kita berharap dengan bantuan daripada KIK JKR di CREaTE ini akan dapat meningkatkan dan memperbaiki kedudukan ke tangga lebih tinggi, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen KIK JKR di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini.
Konvensyen KIK JKR tahun ini melibatkan 54 penyertaan daripada JKR Ibu Pejabat, JKR Negeri, JKR Daerah dan CReATE JKR Malaysia dalam dua kategori utama, iaitu pengurusan dan teknikal.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan, segala perbincangan berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan semasa Mesyuarat MKT parti itu, 28 Ogos ini.