AI perkasa penjagaan kesihatan

Datuk Chang Lih Kang/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Projek digital dalam sektor kesihatan negara tidak lagi boleh bergerak secara berasingan apabila Malaysia kini menyusun semula usaha berkenaan menerusi Inisiatif Berorientasikan Misi (MOI) Kebangsaan bagi Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan Digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akademi Sains Malaysia memimpin penyatuan platform dan program digital untuk membentuk ekosistem kesihatan nasional lebih bersepadu dan berkesan.
  • MOI selari dengan RMK13, menggembleng kerajaan, penyedia kesihatan, penyelidik, industri dan komuniti bagi hasil nasional yang boleh diukur.
  • Pelaksanaan MOI dijangka menjadi penanda aras transformasi digital awam dan menempatkan Malaysia sebagai peneraju inovasi kesihatan berasaskan AI di rantau.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata langkah strategik ini bertujuan menyatukan pelbagai platform serta program digital yang sebelum ini dilaksanakan secara tersendiri demi membentuk satu ekosistem kesihatan nasional yang lebih bersepadu dan berkesan.

“Inisiatif diterajui oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) itu selari dengan matlamat utama negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara dipacu kecerdasan buatan (AI) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

“MOI ini akan melangkaui pelaksanaan projek digital secara berasingan dengan menggembleng kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, penyelidik, industri dan komuniti bagi mencapai hasil nasional yang boleh diukur,” tambah beliau.

Menurut beliau, pendekatan baharu ini bakal memberi tumpuan khusus kepada hasil nyata yang boleh diukur demi kesejahteraan rakyat.

“Pelaksanaan MOI ini dijangka menjadi penanda aras baharu dalam transformasi digital sektor awam, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemimpin inovasi kesihatan berteraskan AI di rantau ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Forum Peringatan Tahunan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2026 dan Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Perubatan (RBS) di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.