
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengimbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.
- Susulan kes penyeludupan dadah melibatkan juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia, tindakan keselamatan diperketat.
- KDN sedang merangka penambahbaikan SOP pengimbasan dan meneliti skop penggunaan mesin pengimbas sedia ada.
- Matlamat penambahbaikan: tingkatkan keupayaan mesin pengimbas serta keseluruhan proses pemeriksaan keselamatan.
- Agensi kawalan sempadan, MAHB dan Malaysia Aviation Group diminta memperketat saringan, pengawasan juruterbang dan kru; syarikat lain digesa ikut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu susulan kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia baru-baru ini.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka penambahbaikan SOP berkenaan, termasuk meneliti skop penggunaan mesin pengimbas sedia ada.
Ia bagi memastikan keupayaan mesin pengimbas serta keseluruhan proses pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang dapat dipertingkat.
“KDN sedang merangka penambahbaikan dari segi SOP pengimbasan dan sebagainya yang akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.
“Daripada segi mesin-mesin pengimbas ini, sudah tentu kita akan melihat skop dan SOP untuk memastikan semua mesin pengimbas itu dapat ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 dan Pelancaran Bulan Kebangsaan kementerian itu di Putrajaya.
Tambah beliau, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Malaysia Airports Holdings Berhad turut memperketat saringan keselamatan.
Selain itu, Malaysia Aviation Group juga diminta meningkatkan pengawasan dan saringan terhadap juruterbang serta kru kabin.
Langkah sama perlu dilaksanakan syarikat penerbangan lain bagi memperkukuh tahap keselamatan sektor penerbangan negara.
Sebelum ini, seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 29 Julai lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Mengulas siasatan kes itu, Anthony berkata, Malaysia menghormati bidang kuasa serta proses perundangan Indonesia.
Kerajaan, katanya, akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia berhubung kes tersebut.