
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RCI berhubung pengurusan Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
- Kehadiran ahli Parlimen diperlukan untuk berbahas, bertanya soalan dan mengupas isu bagi mencapai keputusan atau penyelesaian terbaik.
- Perbahasan selesai; ruang diberikan kepada pihak berkuasa meneruskan siasatan dan penguatkuasaan sambil menghormati proses undang-undang.
- Kenyataan dibuat Dr. Zulkifli selepas merasmikan majlis YADIM meraikan penerima APC dan pesara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kehadiran mereka perlu untuk bersama-sama membahas bagi mencapai
keputusan dan kata sepakat berhubung laporan berkenaan.
“Kita perlu bersama-sama berbahas, bertanya soalan dan mengupas isu ini supaya dapat mencari keputusan atau penyelesaian yang terbaik.
“Alhamdulillah, perbahasan kini telah selesai dan kita memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan serta penguatkuasaan dan melakukan yang terbaik. Kita menghormati proses undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah
Jasamu Di Kenang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.
Seramai 20 kakitangan cemerlang dan empat pesara diraikan pada majlis berkenaan.
Sejak APC diperkenalkan pada tahun 2010, YADIM telah memberikan pengiktirafan kepada 209 pegawai dan kakitangan yang memberikan kecemerlangan dalam perkhidmatan.